9 OKT: Kadar jangkitan COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang masih terkawal dengan tiada petugasnya disahkan positif setakat ini.
Pengarah Penjara Reman, Mohamed Jusoh Ismail berkata, setakat ini hanya tujuh banduan didapati positif COVID-19 dan kesemua mereka kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Mohamed Jusoh berkata, enam daripada tujuh (banduan) didapati positif COVID-19 itu merupakan kontak rapat dan tinggal dalam satu sel dengan lelaki yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu.
“Setakat hari ini belum ada lagi kakitangan penjara yang didapati positif COVID-19, namun kita masih menunggu keputusan ujian saringan (COVID-19) ke atas petugas lain yang belum keluar dan kita sama-sama berdoa agar tiada yang positif,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Berikutan itu, Mohamed Jusoh berkata, pihaknya juga sudah mengambil langkah proaktif dengan mengasing banduan lain dengan mereka yang di kuarantin bagi membendung penularan wabak terbabit.
Mohamed Jusoh berkata, biarpun proses ujian saringan COVID-19 masih dijalankan di Penjara Reman Pulau Pinang, namun beliau berharap tiada pertambahan kes baharu berlaku.
“Jika ada keperluan, kami tidak menolak kemungkinan membuka pusat rawatan khas bagi merawat tahanan di dalam penjara itu yang dapati positif COVID-19.
“Ketika ini jumlah petugas di Penjara Reman Pulau Pinang mencukupi iaitu kira-kira 320 orang dan tiada keperluan lagi untuk meminta bantuan daripada penjara lain membantu di situ,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengeluarkan arahan membekukan cuti semua petugas di penjara bagi memastikan proses penugasan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Kita juga akan meminta bantuan petugas dari penjara lain jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian bagi membantu penugasan termasuk dari Kedah, tetapi ia bergantung kepada arahan pihak Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Jusoh berkata, proses sanitasi di dalam penjara turut dilakukan oleh kakitangan penjara dengan bantuan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).
“Proses dilakukan hampir 24 jam sehari bagi memastikan kawasan tersebut bersih terutama dalam membendung penularan wabak COVID-19.
“Saya harap Kluster Penjara Reman tidak merebak teruk kerana kami mengambil langkah awal dan mengikut prosedur operasi standard yang ketat,” kata beliau lagi.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat satu kluster baharu iaitu Penjara Reman di penjara berkenaan selepas saringan mendapati tujuh orang postif COVID-19 termasuk seorang banduan yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu.