9 OKT: Parti-parti yang mendukung Perikatan Nasional (PN) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum berbincang mengenai keputusan sama ada untuk bertanding atau sebaliknya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.
Pada masa yang sama, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menolak kemungkinan perlunya perbincangan tersebut diadakan, sekiranya jumlah kes positif jangkitan pandemik COVID-19 terus meningkat di kawasan itu.
“Dalam pengetahuan saya masih tiada lagi perbincangan sama ada untuk menangguhkan penyertaan dalam PRK tersebut atau sebaliknya.
“Namun sekiranya kes positif COVID-19 menjadi dalam suatu keadaan seperti yang boleh merumitkan usaha mengubati pesakit, ketidakcukupan katil di hospital dan sebagainya, tentu sekali kita akan mencari jalan untuk diadakan perbincangan berkenaan hal itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di Perak, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan PRK Batu Sapi perlu diadakan selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, dan mesyuarat khas mengenainya akan diadakan pada 13 Oktober depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas penyandangnya, Datuk Liew View Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan BN mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi.
Menurut beliau, keputusan ini dibuat kerana BN merasakan perlu bagi mengelakkan penularan COVID-19 sekiranya PRK itu diadakan.