9 OKT: Jabatan Penjara Malaysia meminta semua pihak berhenti bermain politik isu sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan termasuk Ustaz Ebit Liew kepada penghuni penjara di Alor Star dan Pokok Sena.
Berikutan itu, Jabatan Penjara Malaysia mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ustaz Ebit Liew yang tampil membantu dan memberikan sumbangan kepada pihaknya atas semangat kesukarelaan.
“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama sebegini bagi meringankan beban kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19 yang melanda institusi penjara.
“Kami sangat bersyukur dan bernasib baik kerana terdapat pelbagai NGO mahupun orang perseorangan yang tampil menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk membantu mereka yangterkesan dengan permasalahan ini,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.
Jabatan Penjara Malaysia juga memberikan jaminan bahawa pihak pengurusan penjara sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap hal ehwal kebajikan warga Jabatan yang berada di bawahnya.
“Ini adalah amalan dan kerjasama biasa dijalin di antara pihak Jabatan bersama NGO atau individu persendirian yang tampil membantu bagi tujuan berkenaan.
“Oleh demikian, pihak Jabatan berharap agar isu ini tidak dipolitikkan bagi tujuan yang boleh memudaratkan maksud asalnya,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI