11 OKT: Percaturan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baharu membuktikan bahawa beliau seorang ahli politik yang mementingkan diri.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Anwar juga sanggup meletakkan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri melampaui segala-galanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.
Menurut beliau, dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu kononnya telah beroleh sokongan majoriti menambah kebimbangan dalam kalangan rakyat yang ketika ini amat bergantung kepada kerajaan dalam mengekang gelombang ketiga penularan wabak COVID-19.
“Sehubungan itu, Bersatu menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk tidak menghiraukan dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson serta terus memberi kerjasama padu kepada kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19 dan seterusnya memulihkan semula ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Anwar pada 8 Oktober lalu mengumumkan bahawa beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 13 Oktober ini.
Anwar berkata, pada majlis mengadap tersebut, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini.
Kenyataan Anwar itu mencetuskan spekulasi sama ada beliau akan meneruskan komplotnya walaupun dakwaan kononnya sudah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen masih dipersoalkan pelbagai pihak.
Hamzah turut menegaskan pendirian semua Ahli Parlimen Bersatu yang sentiasa memberi sokongan penuh tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Tidak terlintas sedikit pun untuk berpendirian sebaliknya,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN