11 OKT: Dewan Pemuda PAS mengecam keras penggunaan taktik kotor dengan mengheret institusi istana sebagai modal politik berkepentingan bagi individu yang terlalu tamak dan kemaruk kuasa.
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, ini adalah rentetan daripada pengumuman yang dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan mengadap Yang DiPertuan Agong pada 13 Oktober ini.
Beliau berkata, suasana begini amat dicela, seolah-olah mahu memberi ‘ugutan’ dan ‘hasutan’ yang berterusan terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenan pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Bukanlah suatu yang rahsia dimana jika di ingat kembali bagaimana situasi konflik politik pada bulan Mac, yang menyaksikan Seri Paduka terpaksa memanggil seorang demi seorang Ahli Parlimen untuk menyatakan sokongan manakah yang mereka telah berikan apabila SD yang dipersembahkan kepada Seri Paduka menemui jalan buntu.
“Adakah pemimpin ini mahukan perkara ini diulang semula? Seakan mengajar pihak istana pula bagaimana mahu mentadbir negara sedangkan institusi ini bukanlah serendah itu mahu diperkotak-katikkan oleh pemimpin seperti ini!” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Khairil Nizam menambah, Pemuda PAS akan terus mengikuti secara rapat apa yang akan berlaku pada 13 Oktober ini.
Beliau menegaskan, Pemuda PAS tidak teragak untuk mengadakan bantahan di seluruh negara dan mengheret ‘perangai’ ini kepada pihak berkuasa atas penghinaan terhadap institusi istana dan cubaan menghuru-harakan keharmonian negara.
“Pemuda PAS menyeru untuk semua ahli politik kerajaan terus jujur dan ikhlas memperteguhkan sokongan kepada Perdana Menteri kekal dipertahankan sehingga ke PRU-15, demi mengutamakan agenda rakyat dan usaha melawan musuh COVID-19,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI