11 OKT: Ahli PAS dan UMNO dinasihatkan supaya jangan terperangkap dengan permainan tentera siber pembangkang yang cuba menimbulkan kesangsian terhadap sokongan penuh kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Muafakat Nasional (MN) bukan hanya gabungan antara PAS dan UMNO tapi juga telah disertai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, MN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula dipayungi oleh PN sebagai kerjasama politik nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, kesatuan antara tiga parti ini dalam MN melibatkan semenanjung sangat digeruni oleh Pakatan Harapan (PH).
“Oleh itu percubaan pecah dan perintah sedang dibuat oleh PH khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim antaranya menerusi percubaan mengadap Yang di-Pertuan Agong membawa senarai nama Ahli Parlimen UMNO yang kononnya menyokong beliau.
“Sepertimana penjelasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan juga Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Ahli Parlimen UMNO bertindak secara ‘en bloc’ dalam memberikan dukungan kepada kerajaan PN bersama-sama Ahli Parlimen PAS,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, PAS, UMNO dan Bersatu bekerjasama untuk memperkasakan kerajaan yang mempertahankan kepentingan Melayu Islam dan memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Ini suatu yang gagal diberi jaminan oleh PH khususnya DAP yang tersangat tidak mesra Islam dan Melayu.
“Apa yang penting ialah kerajaan bersama UMNO, PAS dan Bersatu dan parti-parti lain terus mengukuh bagi melaksanakan amanah rakyat sebagai kerajaan prihatin,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI