11 OKT: Semua menteri Kabinet dan individu lain yang menghadiri mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 3 Oktober lalu didapati negatif COVID-19 setakat ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut beliau, semua menteri Kabinet dan individu terbabit telah menjalani saringan.
“Sehingga hari ini, tiada kes lain yang dikesan positif,” jelasnya.
Zulkifli sedang menjalani kuarantin setelah Kementerian Kesihatan mengesahkan beliau positif COVID-19 pada 5 Oktober lalu. – Oleh HUSSAINI AMRAN