11 OKT: Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh membuat laporan polis hari ini bagi menafikan beliau menyokong komplot Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang juga Pengerusi Felda berbuat demikian bagai menegaskan pendiriannya itu dan membersihkan namanya daripada teruskan dikaitkan dengan hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri.
“Saya tidak pernah dihubungi (oleh Anwar), tidak pernah memberikan sokongan (kepada Anwar) tapi dikatakan menyokong. Saya tidak faham.
“Saya sudah membuat kenyataan media sebelum ini menafikan saya menyokong Anwar namun seolah-olah tidak diendahkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.
Idris merupakan salah seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) yang disenaraikan oleh sebuah portal kononnya menyokong Anwar dalam laporannya pada 6 Oktober lalu.
Anwar pada 8 Oktober lalu mengumumkan bahawa beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 13 Oktober ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pada majlis mengadap tersebut, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini.