10 OKT: Mana-mana pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai pengkhianat terhadap perjuangan parti dan orang Melayu.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan yang dilakukan oleh Anwar mutakhir ini mungkin adalah satu strategi politik licik untuk menyelamatkan PKR dan DAP daripada ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Ketereh itu percaya Anwar berpura-pura ingin membentuk kerajaan Melayu-Islam versinya dengan harapan PKR akan menguasai semula sokongan yang hilang di kawasan majoriti orang Melayu.
Annuar berkata, pada masa yang sama, rakan mereka DAP telah menguasai kawasan pengundi Cina dan dengan cara itu gerakan sosialis dapat bertapak kembali.
“Ahli Parlimen UMNO atau PAS atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kiranya bersekongkol dengan Anwar akan dianggap oleh sesetengah ahli sama seperti bersekongkol dengan DAP. Dengan itu parti akan berpecah dan akan menyebabkan parti parti teras ini berjaya dilemahkan.
“Bagi UMNO, ia bukan saja bercanggah dengan keputusan parti, malah bakal dilihat oleh orang Melayu sebagai satu ‘pengkhianatan’ kepada perjuangan. Tidak mustahil jika dibiarkan demikian, dalam UMNO juga bakal berpecah dan UMNO menjadi lemah dan bakal ditolak pengundi khususnya oleh orang Melayu… Berjayalah strategi DAP!
“Bagi UMNO kita harus kembali pada asas… ia tertera dalam Perlembagaan UMNO dan jelas dalam Piagam Muafakat Nasional (MN). Perjuangan membela kepentingan agama Islam, hak orang Melayu dan bumiputera tanpa menafikan kebebasan beragama dan hak kaum yang lain,” kata Annuar dalam laman Facebook miliknya, hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Anwar sudah berkali-kali menobatkan DAP dan membiakkan ideologi sosialis dan liberal dianuti mereka
Tambah Annuar, sikap Anwar dan DAP sudah diketahui umum apabila negara bangsa hampir hancur dikerjakan mereka sepanjang 22 bulan mereka memegang tampuk pemerintah sebelum ini.
“Mereka membiarkan ejen dalam dan luar negara hampir memporak perandakan nilai dan fabrik negara bangsa yang kita bersama berdekad lamanya.
“Tidak cukupkah pengelaman pahit itu semua? Maka bagi kita tetaplah…. Tolak DAP… Tolak Anwar… dan tiada lagi kompromi! Penawar paling mustajab yang diperlukan ketika ini ialah solidariti parti-parti dalam gabungan Muafakat Nasional (MN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS yang membentuk satu gagasan besar lagi padu menaungi politik keserhanaan, toleren serta fokus membela rakyat.
“Sebarang usaha mengganggu kestabilan, mendorong perpecahan dan berpaksikan kemaruk kuasa untuk individu perlu ditolak dengan tegas bagi saya membujur lalu melintang patah… Tak perlu ragu walaupun sedetik..,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI