12 OKT: Orang ramai diingatkan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih lagi dilaksanakan di negara ini dan mereka dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun hampir keseluruhan sektor telah dibuka, masih terdapat aktiviti yang masih dalam senarai yang tidak dibenarkan.
Beliau turut membangkitkan bahawa masih ada tangkapan-tangkapan dibuat terhadap individu-individu yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan setiap hari.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP asas seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam, penjarakan fizikal, kerap cuci tangan dengan sabun atau cecair pembersih tangan dan lain-lain.
“Sentiasa amalkan norma baharu dan kawalan kendiri setiap masa untuk kekal selamat,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, PDRM telah menahan 663 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 617 individu telah dikompaun, 44 individu pula direman dan dua orang dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk, penjarakan fizikal (239), tidak memakai pelitup muka (178), aktiviti di pusat hiburan (105), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (89), langgar syarat di kawasan PKPDB (20), tangkapan pendatang asing tanpa izin (16), terlibat dengan aktiviti pelacuran (8), aktiviti perjudian (3), tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan (3), premis beroperasi tanpa lesen (1) dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas (1),” jelasnya.
Berhubung Ops Benteng, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan berjaya menahan 76 PATI serta merampas tiga buah bot dan tiga kenderaan darat semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN