Saya bukan kaki lompat – Ahmad Maslan
12 OKT: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengulangi pendiriannya tidak akan melompat parti dan menyokong pakatan politik yang dianggotai DAP atau PKR.
Ahli Parlimen Pontian itu turut menegaskan bahawa beliau setia bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang teguh dalam Muafakat Nasional (MN) serta menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Dua kali saya tercatat sebagai Menteri Kewangan 2. Sekali Menteri Kewangan 1 Lim Guan Eng, sekali Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam senarai yang entah rekaan siapa.
“Politik mesti punyai prinsip. Saya bukan kaki lompat dan tiada kaitan DAP atau PKR,” katanya dalam ciapan Twitter hari ini.
Beliau mengulas tentang poster Kabinet bayangan dengan Anwar sebagai Perdana Menteri yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Semalam, Ahmad menyifatkan poster ‘Kabinet fatamorgana’ itu sebagai khayalan dan infografik rekaan yang tidak mengandungi kebenaran.
Beliau turut menyatakan, tiada perbincangan yang dilakukan berhubung cadangan ‘Kabinet’ tersebut.
Tentera siber Pakatan Harapan (PH) dilihat melipatgandakan penyebaran propaganda palsu setelah Anwar diperkenankan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
Selain Ahmad, ramai lagi pemimpin BN dan PAS yang dipaparkan dalam poster tersebut menafikan menyokong komplot Presiden PKR itu untuk menjatuhkan kerajaan PN.
Antara Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Hasbullah Osman (Gerik), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Datuk Ahmad Nazlan (Jerantut), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam).
Turut membuat penafian ialah Naib Presiden PAS, Idris Ahmad. – Oleh HUSSAINI AMRAN