13 OKT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu bersara dari arena politik tanahair selepas Ketua Pembangkang berkenaan gagal mengemukakan senarai nama dan bukti kukuh kepada Yang di-Pertuan Agong, yang menunjukkan beliau kini mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen, seterusnya diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan, berkata kegagalan Anwar berbuat demikian menunjukan beliau sekali lagi cuba membohongi rakyat apabila mengatakan mempunyai cukup sokongan dalam usaha menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun Wan Saiful berkata hakikatnya Muhyiddin kekal mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk terus memimpin Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Apa yang difikirkan Anwar hanyalah cita-cita peribadi tanpa memikirkan kesan kestabilan politik kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
“Ini juga menunjukkan betapa Anwar semakin lama semakin terpisah daripada denyut nadi rakyat yang mahukan kestabilan,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan mendakwa kononnya beliau telah beroleh sokongan majoriti daripada 120 Ahli Parlimen dalam komplotnya bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau juga mengesahkan telah mempersembahkan dokumen sahih mengenai ‘majoriti kukuh dan meyakinkan’ Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap Seri Paduka di Istana Negara, pagi tadi.
Bagaimanapun, Istana Negara mengesahkan bahawa Anwar, tidak mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai nama Ahli Parlimen untuk mengukuhkan dakwaan beliau mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan dalam pertemuan selama 25 minit pagi tadi, Anwar hanya mengemukakan jumlah Ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, tindakan Anwar itu sekadar cuba menggugat kestabilan kerajaan dengan penipuan yang sama.
“Saya mencadangkan beliau (Anwar) bersara daripada politik negara dan benarkan tokoh lain mengambil alih kepemimpinan pembangkang supaya pembangkang di negara kita boleh menjadi pembangkang yang konstruktif,” katanya.
Katanya, jentera dan organisasi BERSATU kekal menyokong kepemimpinan Muhyiddin dalam merangka dan memastikan kebajikan rakyat terjaga dan ekonomi negara dapat dibina semula.