13 OKT: Memandangkan pandemik COVID-19 masih melanda dunia dan perlu terus berjaga-jaga dengan mengamalkan norma baharu yang sedikit sebanyak mengehadkan pergerakan bebas serta urusan, namun kehadiran teknologi terkini nampaknya banyak membantu.
Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melangkah satu tapak ke hadapan dengan memperkenalkan helmet pengimbas suhu yang canggih bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
KTMB menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan kaedah ini adalah tambahan kepada cara yang sudah sedia ada seperti pengimbas suhu di stesen, hand sanitizer dan sanitasi tren.
“Dengan penggunaan helmet ini, anggota Polis Bantuan (PB) yang membuat rondaan akan dapat mengesan penumpang bergejala melalui alat teknologi canggih itu.
“Diharap dengan kaedah-kaedah yang dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan keyakinan para penumpang untuk menggunakan perkhidmatan KTMB,” katanya.
Namun, KTMB memberitahu penggunaan helmet ini masih di peringkat percubaan bagi menilai keberkesan dan kesesuaian kepada anggota Polis Bantuan.
Sementara itu, langkah alternatif yang diambil oleh KTMB menerima respons daripada warganet yang memuji tindakan syarikat itu dalam memastikan orang awam bebas dari jangkitan COVID-19. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH