13 OKT: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau masih lagi bergelar Perdana Menteri walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Barhubung dakwaan Anwar itu, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat pertimbangan berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin juga percaya Al-Sultan Abdullah ialah seorang yang bijaksana dan memahami peranan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Maka, kita harus memberi kepercayaan kepada Seri Paduka untuk memutuskan apa yang patut diputuskan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, hari ini.
Buat julung-julung kali sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau menjawab soalan secara langsung daripada wartawan dalam sesi soal jawab.
Muhyiddin menegaskan, keutamaan beliau adalah menguruskan negara selain menggalas tugas yang diamanahkan, khususnya memberi keutamaan terhadap mengurusi masalah COVID-19 dan ekonomi negara.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas diisytiharkan berlaku kekosongan seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin menyarangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di Batu Sapi seperti memendekkan tempoh berkempen, tidak membenarkan kempen dari rumah ke rumah dan penganjuran perhimpunan melibatkan orang ramai.
Berhubung kemungkinan PN atau Gabungan Rakyat Sabah bertanding, beliau memberitahu, PN akan meneliti keadaan di kawasan tersebut.
“Kita akan buat keputusan kerana dalam GRS ada kerusi-kerusi yang diserahkan kepada parti-parti tertentu,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN