13 OKT: Langkah kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan; Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dan Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin terus menunjukkan kesan yang positif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan tiga statistik iaitu Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) serta Perangkaan Pembuatan Bulanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan semalam bagi bulan Ogos yang telah menunjukkan peningkatan.
Menurut beliau, seiring dengan peningkatan indikator-indikator ini, PERKESO juga turut melaporkan pengurangan dalam kes kehilangan pekerjaan (LOE) dan peningkatan dalam penempatan semula pekerja.
“Jumlah pekerja yang hilang pekerjaan semakin menurun iaitu sebanyak 7,388 orang pada bulan September setelah mencecah kemuncak sebanyak 18,579 orang pada bulan Jun yang lalu.
“Pada masa yang sama, peningkatan dalam kadar penempatan semula pekerja juga meningkat mencapai 43 peratus pada bulan September yang lalu, dari kadar terendah iaitu 6 peratus pada bulan Jun yang lepas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mustapa menambah, perkembangan positif itu bermula pada Jun lalu apabila kerajaan membuka semula semua sektor ekonomi selepas ditutup pada 19 Mac.
Beliau memberitahu, kerajaan sedar bahawa keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat adalah sama penting dan harus diberikan perhatian yang utama.
“Justeru, kerajaan komited dalam memastikan kedua-dua aspek ini sentiasa ditekankan demi kesihatan, keselamatan serta kesejahteraan ekonomi negara dan setiap rakyat Malaysia,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN