13 OKT: Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan yang tepat apabila menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai tengah malam ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan melaksanakan PKPB di Lembah Klang diambil selepas melihat kes jangkitan COVID-19 yang naik mendadak di Selangor sejak beberapa hari lalu.
“Mengamati dengan apa yang berlaku sejak beberapa hari lalu, khususnya di Selangor, jumlah penduduknya padat, kes berlaku di seluruh daerah di negeri itu dan trend telah meningkat. Walaupun di zon kuning, kita boleh melihat jumlah kes melonjak di Gombak dan daerah Hulu Langat.
“Saya fikir ini adalah langkah tepat diambil oleh MKN untuk mengisyitharkan negeri Selangor diletak di bawah PKPB. Atas dasar pencegahan dan proaktif, apa yang dilakukan oleh MKN itu sebenarnya boleh membendung pandemik ini,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung dari kediaman rasminya di Putrajaya, hari ini.
Buat julung-julung kali sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau menjawab soalan secara langsung daripada wartawan dalam sesi soal jawab.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mempersoalkan keputusan kerajaan Persekutuan melaksanakan PKPB di seluruh negeri itu sedangkan tidak semua kawasan diisytiharkan sebagai zon merah.
Beliau menambah, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi penjelaskan kepada Amirudin tentang kewajaran penguatkuasaan PKPB itu.
“Beliau faham keputusan itu adalah tepat,” jelasnya.
Muhyiddin juga berharap penduduk Lembah Klang tidak bimbang atau panik kerana aktiviti ekonomi masih dibenarkan untuk beroperasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. – Oleh HUSSAINI AMRAN