14 OKT: Semua cawangan sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan membuat laporan polis ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menimbulkan keresahan dan kegusaran semua pihak dengan mendakwa kononnya sudah mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Ketua Penerangan Armada, Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, tindakan Anwar yang juga Presiden PKR itu bukan sahaja menyebabkan masyarakat dibelenggu keresahan dalam kalangan masyarakat serta memberi kesan negatif kepada pasaran saham negara ini.
Beliau berkata, Anwar juga tidak menjawab soalan mengenai senarai Ahli Parlimen yang dimiliki sebaliknya hanya fokus kepada jawapan yang tidak relevan pada sidang media semalam.
“Tindakan Anwar ini jelas membuktikan beliau tidak kisah dan peduli dengan nasib rakyat yang sedang berdepan pandemic COVID-19.
“Sebaliknya, yang beliau fokus untuk mendapat kuasa dan menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup meremeh dan mempersendakan Institusi Raja di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan terhadap Presiden PKR berhubung ‘Tragedi 13 Oktober’ di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, Anwar mendakwa kononnya beliau telah beroleh sokongan majoriti daripada 120 Ahli Parlimen dalam komplotnya menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Presiden PKR itu juga mengesahkan telah mempersembahkan dokumen sahih mengenai ‘majoriti kukuh dan meyakinkan’ Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menghadap Seri Paduka di Istana Negara, pagi tadi.
Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan semalam mengesahkan bahawa Anwar hanya mempersembahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong beliau, dan bukannya senarai nama bagi mengukuhkan dakwaan itu.
Mengulas lanjut, Ashraf Mustaqim berkata apa yang mengecewakan, Anwar masih gagal membuktikan memiliki majoriti Ahli Parlimen namun berulang-kali mengeluarkan kenyataan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tumbang.
Jelas beliau, ini menunjukkan sikap Anwar yang lebih sudu daripada kuah yang seolah-olah mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Agong dan Istana Negara yang lebih berhak untuk menentukan kedudukan sebuah kerajaan, kalau benar pun Anwar memiliki jumlah majoriti Ahli Parlimen, Agong akan menggunakan kebijaksanaan baginda mengikut lunas Perlembagaan,” katanya.