14 OKT: PAS akan tetap mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) biarpun sekutunya UMNO berbeza padangan mengenainya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun UMNO kini membuat ketetapan dan syarat baharu mengenai sokongan mereka kepada PN.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS percaya pendekatan itu akan memperkukuhkan hubungan dalam kalangan parti dalam gabungan MN.
Berikutan itu PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneliti kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO, malam tadi.
“PAS yakin segala permasalahan akan dapat diselesaikan melalui proses perundingan dan MN akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneruskan beberapa agenda yang masih belum diselesaikan.
“Banyak mesyuarat tertangguh kerana Covid-19 dan PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah, malah beberapa pimpinan yang pulang dari Sabah sedang menjalani kuarantin kendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas berhubung pendirian UMNO yang sedang menimbang menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Malam tadi, UMNO memutuskan untuk meletakkan syarat baharu bagi meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.
Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).