14 OKT: Perpaduan Melayu yang merupakan asas kestabilan politik negara perlu diperkuatkan yang mana UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanggungjawab kepada perkara ini.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, politik negara ketika ini perlu distabilkan dan keutamaan mesti ditumpukan menyelamatkan nyawa rakyat dan mengekang pandemik COVID-19.
“Memulihkan ekonomi negara, meringankan beban hidup rakyat serta jadikan Malaysia sebuah negara berjaya (bukan negara gagal atas apa juga sebab).
“Tidak salah untuk UMNO, Bersatu dan Pas kembali ke “drawing board” politik agar kita dapat melakar sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, untuk itu semua pihak perlu tenang, banyak berfikir dan bijak bertindak.
“Jangan emosi mendorong kita untuk tidak memikirkan keburukan yang boleh menimpa rakyat dan negara kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Annuar, mungkin ada asas tertentu yang menyebabkan UMNO mahu mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“UMNO dan BN berhak menyemak kedudukannya dari semasa ke semasa dan tidak mustahil melalui semakan itu kerajaan PN itu boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun, lebih bersefahaman.
“Saya berpandangan kita perlukan kebijaksanaan dalam semua tindakan. Dahulukan kepentingan rakyat,” katanya.
UMNO malam tadi menerusi Biro Politik memutuskan untuk memberi syarat baru bagi meneruskan sokongan kepada kerajaan PN. -Oleh M. HERMAN HAMID