14 OKT: Sesi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadualkan berlangsung hari ini telah ditangguhkan.
Turut ditangguhkan sesi Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menghadap Seri Paduka pada 21 Oktober ini.
Dalam satu kenyataan bersama, Guan Eng dan Mohamad memberitahu, penangguhan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, semalam.
“Kami menjunjung titah dan mendoakan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan,” kata mereka.
Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Seri Paduka dan mempersembahkan dokumen sahih mengenai ‘majoriti kukuh dan meyakinkan’ Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya.
Anwar dalam sidang media semalam memaklumkan Seri Paduka akan memanggil ketua-ketua parti untuk mendapatkan pengesahan.
Walau bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan selepas itu mengesahkan bahawa Anwar hanya mempersembahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong beliau, dan bukannya senarai nama bagi mengukuhkan dakwaan itu. – Oleh HUSSAINI AMRAN