15 OKT: Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru pimpinan parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya bersatu padu dalam memastikan kestabilan kerajaan.
Menteri Besar Perak itu berkata, kerajaan perlu mengutamakan usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di samping memastikan sektor ekonomi dapat dibangunkan semula demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.
Mengenai pertimbangan UMNO untuk menarik diri daripada menyokong PN, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, jika tindakan itu diambil, ia tidak akan memberi sebarang kelebihan kepada parti itu dan ahli-ahli yang diwakilinya.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan cadangan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO dan akan memberi syarat baharu kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.
Ahmad Faizal berkata, setakat ini tiada perbincangan diadakan berhubung perkara itu oleh Bersatu berikutan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
“Apabila Presiden tamat kuarantin dan memanggil mesyuarat, kami akan memberi pandangan dan membincangkan perkara ini bersama rakan-rakan (parti) lain terutama ke arah menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan usaha bersama melawan COVID-19,” katanya.