15 OKT: Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd (FGV) telah berhubung dengan Jabatan Perlindungan Sempadan dan Kastam (CBP) Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan penjelasan berhubung hasil siasatannya dan langkah yang wajar diambil oleh FGV untuk membatalkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata, maklumat berkaitan hasil siasatan CBP itu penting bagi membolehkan FGV menangani dan menyelesaikan sebarang jurang yang ada dalam amalannya.
“FGV telah berhubung dengan CBP menerusi satu sidang video pada 8 Okt, 2020. Bagaimanapun, CBP tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat berkaitan hasil siasatan mereka kecuali penyelidikannya telah mengenal pasti 11 petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan buruh paksa dalam amalan FGV.
“CBP tidak menjelaskan sebarang maklumat lanjut tentang dapatan tersebut termasuk jenis dan lokasi sebarang insiden yang dikaitkan dengan petunjuk berkenaan,” kata FGV.
Menurut FGV, CBP memaklumkan kepada pihaknya bahawa ia akan mempertimbangkan untuk menghantar petisyen membatalkan WRO itu yang disertakan dengan maklumat atau laporan audit daripada firma pengauditan pihak ketiga yang boleh dipercayai dan adil.
“Berkaitan perkara ini, FGV telah berhubung dengan beberapa organisasi bebas untuk melakukan audit ke atas operasi syarikat.
“FGV menjangka memuktamadkan pelantikan firma audit ini dalam masa beberapa minggu akan datang dan memulakan proses audit sejurus selepasnya,” jelas FGV.
Pada 30 September lalu, CBP melarang import minyak sawit dan semua produk sawit yang dikeluarkan FGV, anak syarikat atau usaha samanya susulan siasatan badan itu yang mendakwa berlaku amalan buruh paksa.
FGV berkata, ia komited untuk mengambil langkah yang perlu bagi membatalkan WRO itu dan berterima kasih kepada CBP kerana bersedia untuk berbincang perkara tersebut dengan FGV.
Pada masa yang sama, FGV berkata, ia terus komited melaksanakan pelan tindakannya di bawah gabungannya dengan Fair Labor Association yang berpangkalan di Washington.