Henti andaian palsu UMNO sokong Anwar, DAP
15 OKT: Semua pihak diminta menghentikan andaian dan persepsi palsu kononnya UMNO akan berubah arah menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam komplotnya menjadi Perdana Menteri.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO tidak akan bersama Anwar yang ketika ini bersekongkol dengan DAP.
“Banyak perkara yang belum boleh diluahkan dan ditulis untuk tatapan khalayak.
“Cukuplah saya katakan apa jua keputusan kepimpinan tidak sesekali akan membelakangkan kepentingan Islam, bangsa dan kebajikan rakyat keseluruhan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan bahawa parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional (PN).
UMNO juga akan memberi syarat baharu kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin. – Oleh HUSSAINI AMRAN