15 OKT: Rakyat Malaysia diminta mengambil iktibar dari gelombang ketiga COVID-19 di Perancis yang telah mencatatkan lebih 20,000 kes baharu dalam masa sehari.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hari ini, kerajaan Perancis telah mengumumkan perintah berkurung di sembilan wilayah termasuk Paris mulai 17 Oktober ini, melibatkan 18 juta penduduk.
Menurut beliau, setakat ini, sepertiga daripada seluruh unit rawatan rapi di negara itu digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.
“Kita tidak mahu jadi seperti Perancis yang kini terpaksa melaksanakan perintah berkurung berikutan kes COVID-19 yang meningkat secara mendadak.
“Kita masih lagi dalam fasa berjuang memerangi COVID-19. Ingatlah, jika tiada keperluan, duduk sahaja di rumah, jika keluar pakai pelitup muka dan sentiasa amalkan penjarakan sosial, kerap cuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer.
“Sentiasa amalkan norma baharu dan kawalan kendiri setiap masa untuk kekal selamat,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 390 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Beliau menambah, daripada jumlah itu, seramai 386 individu telah dikompaun manakala empat individu direman.
Berhubung penguatkuasaan Ops Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan berjaya menahan 23 pendatang asing tanpa izin dan tiga penyeludup serta merampas lima bot dan lima kenderaan darat. – Oleh HUSSAINI AMRAN