16 OKT: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menasihatkan semua ahli politik bermuhasabah diri supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika berhadapan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19.
Justeru, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, meminta semua pihak menghentikan krisis politik dan polemik yang merugikan umat.
Biarpun tidak menyebut nama individu, parti atau kemelut tertentu, Abdul Hadi mengajak pihak berkenaan membuktikan Islam boleh menjadi petunjuk dan penyelamat semua manusia.
“Hentikan krisis politik dan polemik yang merugikan umat. Turun ke padang dunia, buktikan bahawa Islam boleh menjadi petunjuk dan penyelamat kepada semua manusia,” katanya dalam satu ciapan menerusi akaun Twitternya hari ini.
Kenyataan itu mungkin merejuk kepada kemelut politik negara yang timbul selepas Biro Politik UMNO untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan menerusi permuafakatan di antara PAS, UMNO dan BERSATU.
Terdahulu, Biro Politik UMNO juga mahu parti itu meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama dengan PN. Berikutan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan meminta UMNO menghantar surat rasmi berhubung perincian mengenai syarat berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan mereka untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, nasihat Seri Paduka itu adalah seperti titah baginda kepada Ahli-ahli Parlimen seperti mana titah baginda ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Mei lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sebarang pandangan diutarakan parti komponen dalam PN boleh diselesaikan di meja rundingan.
Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu menegaskan sama ada Muafakat Nasional (MN) dan PN, kedua-duanya adalah gabungan parti yang memiliki banyak persamaan dalam konteks perjuangan.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya percaya rundingan yang dilakukan antara PN dan MN, mampu meleraikan kekusutan kerjasama yang ‘menyelubungi’ antara dua gabungan parti terbesar mewakili Melayu dan Islam itu.
“MN dan PN tidak banyak perbezaan. Malah yang lebih adalah persamaan. Ibarat lauk pelbagai dihidangkan, di meja makanlah, dinikmati pemakannya.
“Pelbagai pandangan yang diutarakan, di meja rundingan dirungkaikan penyelesaian. Berunding pasti selesai, semua ada peranannya, ” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitternya di sini hari ini.