17 OKT: Bekas menteri pertahanan Mexico, Salvador Cienfuegos yang ditahan di Amerikas Syarikat (AS) kelmarin, dituduh atas kesalahan mengedar dadah dan pengubahan wang.
Memetik laporan AFP, dokumen yang dikeluarkan Pendakwa Raya Persekutuan New York mendedahkan Cienfuegos dituduh terbabit dengan konspirasi menghasil dan mengedarkan ribuan kilogram kokain, heroin, methamphetamine serta marijuana di AS antara Disember 2015 dan Februari 2017.
Menurut dokumen itu, jeneral tentera bersara berusia 72 tahun yang mendapat jolokan ‘The Godfather’ itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk membantu Kartel H-2, organisasi pemerdagangan dadah Mexico yang berbahaya.
“Sebagai pertukaran pembayaran rasuah, dia mengizinkan Kartel H-2, sebuah kartel yang secara rutin melakukan perdagangan secara kekerasan termasuk penyeksaan dan pembunuhan beroperasi tidak dikenakan tindakan undang-undang di Mexico,” jelas dokumen tersebut.
Pihak pendakwaan menjelaskan bukti berkenaan merangkumi ribuan mesej menerusi telefon pintar Blackberry di antara Cienfuegos dan anggota kartel yang dipintas pihak berkuasa.
Cienfuegos yang menjadi Menteri Pertahanan ketika era Enrique Pena Nieto menjadi Presiden mulai 2012 hingga 2018, ditahan di lapangan terbang Los Angeles, kelmarin ketika bercuti ke AS bersama keluarganya.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun di AS dan maksimum penjara seumur hidup.
Kertas pertuduhan itu difailkan oleh Pejabat Peguam Daerah New York City pada Ogos 2019, tetapi hanya dihebahkan semalam.
“Pihak berkuasa AS berusaha mengenakan tahanan kekal ke atas Cienfuegos kerana berisiko tinggi untuk melarikan diri dan beliau dijangka dipindahkan ke New York minggu depan,” kata pendakwa raya.