17 OKT: Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin menafikan beliau menyokong komplot Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau tidak terlibat dalam komplot tersebut seperti yang terkandung dalam surat palsu yang tular dalam media sosial, hari ini.
“Jika surat itu benar, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa pendirian itu tidak mewakili suara saya. Saya tidak menyatakan sokongan untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
“Saya harap Ahli Parlimen UMNO lain akan menyatakan pendirian mereka dengan jelas. Mari kita lihat siapa yang ada angka,” katanya dalam laman Intagramnya, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan menafikan bahawa surat berhubung sokongan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Anwar itu dikeluarkan oleh Pejabat Presiden UMNO.
“Saya dan pegawai Pejabat Presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan juga letter head tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.
“Penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO,” tegasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN