18 OKT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dan isteri, Datin Seri Julia Salag, kini dibenarkan keluar dari wad Hospital Queen Elizabeth hari ini, selepas mereka disahkan pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19.
Biarpun dirawat di hospital, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, beliau tetap sentiasa memantau situasi semasa khususnya peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah.
“Kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan wabak ini.
“Apa yang penting ialah rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Saya juga ingin menyampai penghargaan dan berterima kasih kepada petugas barisan hadapan dan pihak hospital yang merawat saya sepanjang ditahan di Hospital Queen Elizabeth, sebelum ini, ” katanya dalam satu kenyataan di sini, selepas dibenarkan keluar dari wad hari ini.
Pada 9 Oktober lalu, Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Effendi Mohamed Sunoh mengesahkan Hajiji sedang menjalani kuarantin kendiri selepas seorang kakitangannya positif Covid-19.
Sebelum itu, Effendi dipetik sebagai berkata semasa dalam kuarantin kendiri terbabit Hajiji menjalani ujian Covid-19 sekali lagi dan hasil ujian terbaru mengesahkan beliau didapati positif.
“Walaupun sedang menjalani rawatan, Ketua Menteri masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan, menerusi panggilan telefon dan sidang video (video conferencing). Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa.
“Ketua Menteru juga mengajak seluruh rakyat Sabah agar bertenang dan bersama-sama berdoa agar Allah SWT sembuhkan dan selamatkan Sabah dan Malaysia daripada COVID-19. Insya-Allah,” kata Effendi.