18 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, disaran tidak perlu tunduk dengan desakan dan tekanan supaya melakukan rombakan Kabinet semata-mata demi memuaskan hati sesetengah pihak.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sekiranya ada sebarang masalah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang, maka ia perlu diselesaikan melalui perundingan seperti dalam keluarga.
“Bagi saya anggota Kabinet sedia ada mampu melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara dengan baik, apatah lagi dalam keadaan kerajaan dan rakyat sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 bersama kes yang kian meningkat.
“Kenapa kita harus merombak Kabinet? Kita baru berapa bulan sahaja jadi kerajaan? Kepada sesiapa yang mendesak supaya rombakan Kabinet dibuat, itu hanyalah pendapat peribadi,” katanya.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra bersama 100 pengamal media di Melaka malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Redzuan juga percaya rakyat sekarang menyokong Kabinet sedia ada kerana Jemaah Menteri mampu berfungsi dengan baik.
“Kita kena perkukuh kerajaan, bukannya memecah-belahkan perpaduan. Jika ada pihak mendakwa dia menyokong si polan dan pihak lain pula menyokong si polan lain, kita harus bermuhasabah kerana kita berjuang untuk rakyat.
“Kita patuh kepada undang-undang dan Perlembagaan. Rakyat amat memahami masa depan negara amat bergantung kepada kestabilan politik,” katanya.