19 OKT: Kekecewaan penduduk Selangor berikutan kekerapan gangguan bekalan air di negeri itu menyebabkan ruangan komen akaun Facebook Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shaari dibanjiri luahan kemarahan netizen.
Walaupun Amirudin memuat naik ‘berita baik’ mengenai gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih sejuta pengguna akan mulai pulih petang ini , namun kemarahan warga maya tidak dapat dibendung.
Antaranya oleh pengguna akaun Eida Tahir yang membangkitkan sama ada kos pengguna membeli air mineral setiap kali gangguan.
“Yb, setiap kali tak de air.. rakyat berpusu-pusu beli air mineral.. boleh tak rakyat claim balik?,” katanya.
Pelbagai komen lagi boleh dilihat ada yang berunsur marah, ada berbentuk cadangan dan tidak kurang luahan rasa dalam bentuk sindiran dengan masalah ini yang sering berulang.
“Air Selangor tak nak cuba cari ustaz untuk rawat ke? Asyik kena gangguan je,” kata pemilik akaun bernama Muhamad Sahril.
Gangguan terbaru sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dihenti operasi awal pagi ini melibatkan kejadian kedua dalam tempoh kira-kira sebulan.
Sementara itu, Amirudin dalam hantaran di Facebooknya petang ini turut menyatakan laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran tersebut.
“Mengikut trend perkembangan bacaan semasa, pencemaran dijangka akan pulih pada petang ini.
“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu. Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran. Siasatan sedang dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Twitter miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memberitahu kadar pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang ialah 1 TON dan bekalan air akan mula disalurkan apabila bacaan mencecah 0 TON.
“Saya kini di Intake Sungai Selangor Fasa 2 untuk meninjau kerja pemulihan bekalan air akibat pencemaran yang dikesan awal pagi ini.
“Usaha pemulihan pencemaran sedang giat dilaksanakan, “katanya.
Terdahulu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengesahkan sedang menyiasat punca sebenar Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sejak 12.30 pagi dan 2 pagi tadi.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini pencemaran bau seolah-olah bahan kimia sylvan merupakan punca utama yang telah menyebabkan pencemaran Sungai Selangor itu.