19 OKT: Mahkamah Sesyen Ipoh menetapkan perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang dituduh merogol amah warga Indonesia dijalankan selama tiga hari mulai 21 Disember ini.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Norashima Khalid setelah dua lagi peguam yang mewakili bekas pemimpin DAP tersebut, Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir berdepan kekangan untuk menghadiri perbicaraan yang dijadualkan hari ini ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.
Choo Kiong wakili peguam Farhan Sapian dan Surindar Singh dalam prosiding hari ini manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Perak, Azhar Mokhtar.
Norashima turut menetapkan 20 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya, di kediamannya di Meru Desa Park, antara jam 8.15 malam dengan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.
Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan beliau untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya.