19 OKT: Belum lagi selesai kes pencemaran air di Sungai Gong yang menyebabkan jutaan penduduk di Lembah Klang berhadapan masalah air lebih sebulan yang lalu, perkara sama berulang yang menyebabkan 1,196, 457 akaun mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), tindakan itu berikutan pencemaran sumber air mentah telah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas sekali lagi.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri berkata, pihaknya telah melakukan proses pencairan bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor.
“Tindakan segara telah dilakukan dengan melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Elina memberitahu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.
Menurut beliau, sehingga jam 12.30 tengah hari tadi, pencemaran masih lagi di kesan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 pada tahap 1 TON manakala Loji Rantau Panjang sudah berada di tahap 0 TON.
“LRA boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada di tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut di muka sauk LRA tersebut, dan tiada lagi sisa pencemaran di hulu sungai.
“Susulan henti tugas keempat-empat LRA terbabit, gangguan bekalan air tidak berjadual merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat,” katanya.
Justeru, Elina berkata Air Selangor turut menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
Tambahnya, para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300,” katanya.
“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes baharu COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
“Kami akan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
“Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH