19 OKT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini memulakan tugas selepas selesai menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah yang berakhir Jumaat lalu, dengan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).
Mesyuarat yang diadakan menerusi sidang video berkenaan diadakan khusus membincangkan mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negeri Johor.
Antara Menteri Kabinet yang turut menyertai Mesyuarat EAC berkenaan ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad serta pegawai kanan daripada Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ).
Menurut Facebook Perdana Menteri hari ini, antara perkara dibincangkan ialah, cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi mengumpul data dan statistik rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
“Mesyuarat berkenaan juga menyentuh mengenai keperluan membuka semula sempadan Johor dan Singapura, antara lain bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Turut dibincangkan, permohonan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Johor bagi menghidupkan semula industri pelancongan susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan besar kepada sektor terbabit,” kata kenyataan itu.
Perdana Menteri kemudiannya mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan situasi terkini jangkitan COVID-19 di dalam negara.
Dalam sidang khas berkenaan pelbagai isu dibincangkan termasuk mengenai status jangkitan COVID-19 di Sabah dan Lembah Klang, pengukuhan tindakan mengawal penularan jangkitan dan keupayaan semasa kesihatan awam negara.
Kesemua perkara akan diteliti semula dalam Mesyuarat Khas Teknikal Menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan sebelum diputuskan.
Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri, akan menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari mengikut nasihat diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Muhyiddin berbuat demikian selepas menjadi kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 dan menjalani rawatan di sebuah hospital di Seremban.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak akan mengganggu urusan kerajaan dan beliau akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu dipengerusikannya.