UMNO Perak amat prihatin dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara. Gelombang ketiga pandemik ini menunjukan peningkatan kes jangkitan termasuk di Perak. Pandemik ini bukan sahaja mengancam nyawa bahkan menghambat ekonomi serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Justeru, dalam keadaan kegelisahan rakyat menghadapi suasana mencemaskan ini, UMNO Perak mengelakkan diri dari mengeluarkan kenyataan politik bagi membolehkan kerajaan negeri yang dibentuk atas semangat muafakat dan kerjasama ini dapat fokus sepenuhnya dalam mendepani impak COVID-19.
Namun suasana yang cuba dibina itu tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan pihak YAB Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membelakangi semangat ini.
Tumpuan untuk menjaga kepentingan rakyat tidak diberi penekanan dengan tindakan-tindakan yang dibuat tanpa semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang dipersetujui bersama dan telah ditandatangani.
Saya mendengar penjelasan YAB Menteri Besar kepada soalan pemberita baru-baru ini berkaitan dengan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, YB Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik beliau. Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila YAB Menteri Besar melantik seorang dari ahli YB dari UMNO, tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat kebenaran dari parti UMNO.
Perlu saya jelaskan bahawa ketika persetujuan untuk membentuk kerajaan, ketiga-ketiga pihak – Bersatu, UMNO dan PAS – telah membuat persetujuan bertulis untuk saling hormat menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain.
Sewajarnya, pelantikan mana-mana ADUN, atau pemimpin UMNO dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.
Harus diingat, Kerajaan Negeri Perak hari ini dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman “politik yang tidak sihat”. Tanpa semangat setiakawan kestabilan politik negeri ini akan terancam.
Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan Kerajaan Negeri Perikatan Nasional sudah tidak dihormati. Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri.
Saya juga ingin menegaskan, UMNO dan BN Perak tidak tamak kuasa seperti yang didendangkan setiap kali kami bersuara. Hakikatnya, kami mempunyai 25 ADUN, jumlah paling besar di dalam Dewan Undangan Negeri. Namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada Bersatu.
Namun janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati.
Pendekatan berdiam diri selama ini diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa dalam waktu pandemik COVID-19 ini. Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang.
DATUK SAARANI MOHAMAD
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak
Pengerusi Barisan Nasional Perak