19 OKT: Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk memberi ganjaran sehingga RM20,000 kepada mana mana pihak yang memberi maklumat berkaitan pencemaran Sungai Selangor sehingga tertangkapnya dalang kejadian itu.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Selangor, Hee Loy Sian berkata, selain ganjaran, hukuman yang lebih berat termasuk denda sehingga RM1 juta akan dikenakan terhadap pelaku akan diusul dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan.
“Untuk sidang Dewan Undangan Negeri Selangor akan datang pada 1 November, kita akan bawa untuk mengubah hukuman penjara dan denda, jika sekarang RM100,000 kita akan tingkatan RM200,000 hingga RM 1 juta dan penjara tiga tahun.
“Pada masa sama, kita akan mengalakkan orang ramai bertindak sebagai whistleblower iaitu kita akan beri ganjaran RM20,000 kepada mereka yang mendedahkan unsur-unsur mencemarkan sungai,” katanya selepas mengadakan lawatan di muka sauk Lori Rawatan Air Selangor Fasa 2 hari ini.
Dalam pada itu, Loy Sian menegaskan tiada kilang haram telah dibina di sepanjang Sungai Selangor.
Menurut beliau, kebanyakan kilang yang mencemarkan sungai terletak antara 30 hingga 50 kilometer dari sungai dan bahan cemar yang dihasilkan sampai ke sungai kerana ia dilepaskan ke longkang.
“Memang tak ada industri di sepanjang sungai. Industri yang ada terletak kira-kira 30 hingga 50 km.
“Industri yang menghasilkan bahan cemar itu biasanya membuang sisa ke longkang dan ia mengalir ke dalam anak sungai, sebelum sampai ke sungai utama.
“Sepanjang Sungai Selangor memang tiada industri haram. Kalau ada pun, jauh daripada sungai,” katanya.
Sementara itu, Loy Sian berkata, kerajaan Selangor juga akan mula menggunakan dron berteknologi tinggi bulan depan untuk memantau kawasan sungai.
“Kita sudah luluskan RM20 juta untuk negeri guna pakai dron berteknologi tinggi bagi melaksanakan ujian sampel air dengan lebih berkesan dan cepat.
“Pada masa sama, dron ini juga boleh digunakan untuk masuk ke tempat terpencil yang sukar untuk kita capai disebabkan faktor geografi dan sebagainya. Ia akan bermula bulan depan,” katanya.