19 OKT: Semua ahli politik daripada pelbagai parti seharusnya mengetepikan persengketaan dan menumpukan terhadap Agenda Perdamaian Nasional dalam situasi COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berkata tindakan itu perlu kerana senario semasa benar-benar meresahkan semua pihak.
Menurut beliau, kes COVID-19 kian meningkat, rakyat semakin susah, ekonomi negara makin menguncup, pengangguran makin memuncak, ramai hilang punca pendapatan bahkan ada jatuh papa kedana.
“Ramai yang saya temui menyatakan kebimbangan dengan ‘unprecedented phenomenon’ atau fenomena unik yang tidak pernah dialami, namun begitu mencabar dan mengancam kesejahteraan sejagat.
“Jadi sudah tiba masanya, ahli-ahli politik tidak kira mewakili parti mana sekalipun melakukan gencatan politik untuk memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan rakyat.
“Mungkin inilah saat terbaik kita sama-sama meletakkan perbezaan yang ada ke tepi, demi memberikan penumpuan kepada Agenda Perdamaian Nasional (National Reconciliation),” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook miliknya di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi menambah, Agenda Perpaduan Nasional yang dimaksudkan itu bukanlah bermakna mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.
“Sebaliknya Agenda Perdamaian Nasional ini memberikan keutamaan kepada parti-parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan yang tajam dalam soal perebutan kuasa.
“Segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya yang ada digemblengkan bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat yang dihimpit segala keperitan lantaran dampak COVID-19 yang kian mencengkam,” katanya.
Beliau berkata, Agenda Perdamaian Nasional juga adalah manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta tetapi benar-benar untuk membantu rakyat.
“Perlu ada ‘political will’ (iltizam politik), ‘political commitment’ (komitmen politik) dan ‘political sincerity’ (kejujuran politik) yang jitu untuk menjayakan agenda ini secara bersama.
“Jangan nanti kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu-isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung!,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI