20 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai seramai 460 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 440 individu telah dikompaun manakala 20 individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk penjarakan fizikal (167), tidak memakai pelitup muka (159), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (58) dan kesalahan-kesalahan lain (76),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau memberitahu, sejak Mei hingga semalam, seramai 7,546 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 767 tekong berjaya ditahan pihak berkuasa.
Ismail Sabri menambah, dalam Ops Benteng semalam, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 57 PATI serta merampas empat kenderaan darat.
“Daripada jumlah itu, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja telah berjaya menangkap 15 PATI di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor,” jelasnya.
Secara keseluruhan, sebanyak 307 sekatan jalan raya Ops Benteng dilakukan di seluruh negara. – Oleh HUSSAINI AMRAN