20 OKT: Kos RM2 juta diperuntukan kerajaan negeri bagi membeli empat unit dron untuk memantau pencemaran sungai di Selangor adalah tidak munasabah.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin, berkata beliau memang menyambut baik usaha dilakukan semua pihak untuk mengatasi masalah pencemaran sungai di Selangor termasuk oleh kerajaan negeri.
“Cuma peruntukan RM2 juta untuk empat unit drone adalah agak melampau. RM500,000 sebuah DJI Matrice 300, sangat tinggi harganya.
“Model terkini Military Drone yang digunakan tentera Amerika boleh didapati di pasaran dengan harga hanya US$40,000 (RM180,000) seunit,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebooknya sebentar tadi.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menggunakan perkhidmatan empat buah dron berteknologi tinggi bermula November depan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, dan Hal Ehwal Selain Islam (HESI), Hee Loy Sian berkata, sebanyak dua dron ditempatkan di lembangan Sungai Langat manakala masing-masing satu di lembangan Sungai Klang dan Sungai Selangor.
Menurutnya, usaha itu sebagai langkah pencegahan dan meningkatkan kawalan pemantauan bagi mengesan punca pencemaran sungai lebih awal.
“Kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah meluluskan peruntukan itu bagi menggunakan perkhidmatan dron sebagai usaha meningkatkan kawalan bagi mengelakkan isu pencemaran sungai berulang,” katanya.
Beliau kemudian turut menjelaskan kos RM2 juta itu bukan hanya melibatkan dron tetapi juga berkaitan kos gaji pekerja dan lain-lain.