20 OKT: Muafakat Nasional (MN) tidak pernah mengetepikan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi mendaftarkan gabungan berkenaan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Setiausaha Agung MN I, Tan Sri Annuar Musa meminta semua pihak tidak mudah membuat andaian berhubung keputusan yang dibuat UMNO dan PAS dalam mendaftarkan gabungan itu secara rasmi.
“Tidak benar. Jangan mudah membuat andaian,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini, merujuk satu tajuk artikel portal berita yang mendakwa BERSATU seolah-olah diketepikan dalam cadangan pendaftaran baharu MN itu.
Dalam satu kenyataan pagi tadi, Annuar dan Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung MN II memaklumkan bahawa kepemimpinan UMNO dan PAS bersetuju mendaftarkan MN secara rasmi dengan ROS.
Menurut kenyataan itu, kepemimpinan MN sudah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.
Ogos lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Majlis Tertinggi parti itu sudah membuat keputusan bersetuju untuk menyertai MN.
“Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU juga bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’,” katanya.
Cadangan untuk menjadikan MN sebagai gabungan rasmi yang didaftarkan dengan ROS sebelum ini diputuskan oleh biro politik UMNO, dalam usaha mempersiapkan parti itu mendepani PRU akan datang.
Difahamkan, rancangan menjadikan MN sebagai organisasi rasmi politik membolehkan tiga parti yang menerajui kerajaan ketika ini, UMNO, BERSATU dan PAS mewakili gabungan parti masing-masing dalam membuat keputusan penting termasuk soal agihan kerusi dan jawatan dalam kerajaan.
UMNO ketika ini menerajui gabungan parti Barisan Nasional (BN) yang disertai MCA dan MIC, sementara BERSATU mengetuai gabungan PN disertai PAS serta beberapa parti dari Sabah. PAS juga menerajui Gagasan Sejahtera yang disertai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).