20 OKT: Kabinet telah meluluskan penubuhan Majlis Statitistik dan Data Negara (MSDN) pada 9 September lalu bagi memperkasakan sistem statistik di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, MSDN merupakan badan penasihat tertinggi yang berperanan memberi hala tuju sistem statistik negara dan penyelarasan maklumat. Ini bersesuaian dengan keperluan membudayakan pembuatan keputusan berdasarkan fakta.
“Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat pertama majilis ini. Ia dianggotai oleh beberapa menteri, wakil daripada kerajaan dan swasta,” katanya ketika merasmikan majlis sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia serta Persidangan Statistik Malaysia 2020 secara maya, hari ini.
Beliau menambah, pada masa yang sama, Kabinet turut bersetuju memberikan peranan yang lebih besar kepada Jabatan Perangkaan sebagai agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik negara.
Mustapa memberitahu, Jabatan Perangkaan akan bertanggungjawab membantu, menyelaras dan mengawal penghasilan statistik kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
“Selaras dengan itu, Ketua Pegawai Data di bawah kementerian, jabatan dan agensi di bawah kawal selia Jabatan Perangkaan bagi membangunkan mekanisme yang sistematik untuk koordinasi, capaian dan kerjasama terhadap perkongsian data.
“Perubahan ini dilaksanakan dengan implikasi kewangan yang minimum,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) akan dipinda selaras dengan pengukuhan yang akan dilaksanakan itu.
Mustapa berkata, fungsi dan peranan Jabatan Perangkaan akan diperkasakan melalui pindaan akta tersebut untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya sebagai sebuah agensi statistik yang setanding dengan agensi statistik yang terbaik di seleuruh dunia.
Beliau menambah, kerajaan juga menyedari kepentingan analisis data raya dalam sektor awam ke arah penggubalan dasar yang lebih komprehensif dan tepat.
“Justeru, sebuah Pusat Analitik Data Raya Negara akan ditubuhkan dengan kerjasama antara Jabatan Perangkaan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta kementerian terlibat,” katanya.
Mustapa berkata, pusat tersebut bertujuan menyokong hasrat kerajaan dalam memastikan setiap perancangan dan pembuat keputusan berlandaskan analitis data selaras dengan inisiatif Kerajaan Digital. – Oleh HUSSAINI AMRAN