20 OKT: Seorang pengedar dadah yang melarikan diri dari penjara Indonesia bulan lalu dengan membuat terowong melalui sistem kumbahan ditemukan mati.
Memetik laporan Agensi, polis menemukan mayat Chai Changpan, seorang warga China, tergantung di sebuah pondok di hutan Bogor, Jawa Barat, pagi Sabtu lalu.
Pihak berkuasa Indonesia melancarkan pencarian di kawasan berkenaan sejak Jumaat lalu selepas menerima maklumat bahawa Changpan dilihat bersembunyi di sebuah pondok.
“Anggaran waktu kematian adalah hari Jumaat, 16 Oktober, jam 8 malam,” kata Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Nana Sudjana dalam sidang media.
Changpan yang berusia 53 tahun yang menjalani hukuman di sebuah penjara di Tangerang menggali lubang dari selnya ke dalam paip sampah dan menuju ke jalan di luar untuk melarikan diri pada 14 September lalu.
Dia dihukum mati pada 2017 kerana menyeludup methamphetamine.
Rakan sepenjaranya memberitahu polis bahawa dia telah merancang melarikan diri selama lima hingga enam bulan dengan menggunakan alat dari projek pembinaan di dapur penjara.
Changpan sebelumnya melarikan diri dari pusat tahanan polis Jakarta pada 2017 dengan memecahkan lubang di dinding bilik mandi.
Semalam, Sudjana mengatakan bahawa kecederaan ditemui pada leher Chang Pan dan dia juga didapati negatif dadah dan alkohol.
“Punca kematian adalah tekanan tumpul di leher, yang menyekat laluan udara sehingga menyebabkan sesak nafas,” jelasnya.