20 OKT: Persetujuan UMNO dan Pas untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) merupakan perkembangan positif yang membuktikan mereka berjaya mencapai kata sepakat.
Justeru, penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib mengharapkan langkah ini merupakan satu transisi yang baik buat semua parti gabungan di dalam MN mendahulukan rakyat berbanding kepentingan kuasa.
“Amanat rakyat itu perlu diutamakan bukannya meletakkan persoalan status quo, ataupun perosalan “I am a big brother you are the small brother” dan bagi saya kepentingan dan persoalan kuasa itu tidak harus didahulukan.
“Satu perkembangan yang baik jika UMNO, Pas dan Bersatu bersetuju bergabung di bawah MN yang merupakan satu perkembangan baik. Kalau sebelum ini ada bolak balik antara MN dan PN (Perikatan Nasional) dan kalau dah boleh memilih maknanya bagus,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, UMNO dan PAS hari ini bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan ROS.
Kepimpinan MN telah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Dalam pada itu, Kartini yang merupakan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, tidak akan menjadi satu permasalahan jika MN didaftarkan dengan ROS jika mengikut segala syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan tersebut.
“Tiada masalah kalau borang yang diisi itu tiada mempunyai isu teknikal dan mematuhi segala syarat yang diperlukan. MN boleh didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti yang sah,” katanya.
Sementara itu, Kartini berharap agar ahli-ahli politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang bekerjasama memfokuskan penyelesaian masalah dan ancaman COVID-19 yang menyebabkan kegawatan kepada negara.
Tambah beliau, permasalahan lain tidak akan mampu diselesaikan jika ancaman COVID-19 ini tidak segera diputuskan dan perlunya kerjasama ini dilaksanakan demi rakyat di negara ini.
“Pada saya, kegawatan dan ancaman paling penting ketika ini COVID-19. Apapun takkan selesai jika kematian makin meningkat. Kehidupan normal dari segi ekonomi, pergerakan dan sumber ekonomi.
“Jadi, saya mahu semua ahli politik tidak kira parti membentuk MN mahupun gabungan pembangkang bergabung tenaga memutuskan rantaian COVID-19 dan tidak menggunakan polemik kuasa dan kepentingan semata-mata untuk jadi pentadbir (kerajaan),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH