21 OKT: Setelah empat hari berturut-turut kes baru COVID-19 melepasi angka 800, jumlah penularan hari ini mencatatkan sedikit penurunan dengan 732 kes.
Daripada jumlah itu, Sabah kekal mencatatkan angka tertingi dengan 535 kes melibatkan kira-kira tiga perempat daripada jumlah kes baru.
Selain itu, Selangor terus melaporkan kes baru melibatkan tiga angka dengan pertambahan 116 kes lagi hari ini dan turut melibatkan kluster baru.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan lagi kluster dilaporkan di seluruh negara dengan salah satu daripada kluster itu di Selangor melibatkan kes indeks yang mempunyai sejarah perjalanan pulang dari Sabah.
Kata beliau, keseluruhannya kes yang dilaporkan melibatkan individu yang pernah berkunjung ke Sabah sejak 20 September lalu ialah 454 kes dengan hari ini sebanyak tiga lagi dilaporkan.
“Selain Sabah dan Selangor, Kuala Lumpur turut melaporkan 20 kes lagi hari ini diikuti Pulau Pinang (12), Negeri Sembilan (9), Labuan (9), Kedah (7), Perak (7), Putrajaya (6), Melaka (3), Kelatan (1) dan Pahang (1).
“Ketika ini sebanyak 102 individu disah positif sedang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sementara itu, kata Noor Hisham, dukacita dimaklumkan terdapat enam lagi kematian dilaporkan dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 bertambah kepada 199 kes.
Katanya, lima kes kematian melibatkan negeri Sabah iaitu tiga di Sandakan dan masing-masing satu di Semporna dan Kota Kinabalu.
“Satu lagi kematian akibat COVID-19 hari ini dilaporkan di Hospital Labuan.
“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga terlibat,” katanya
Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat 580 kes sembuh dilaporkan hari ini dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang sedang dirawat di hospital berjumlah 7,827 kes.
“Hari ini juga terdapat lapan kes import dilapokan melibatkan penularan dari Singapura (tiga), Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom (UK), Nepal dan UAE,” ujarnya. – Oleh M. HERMAN HAMID