21 OKT: Jabatan Peguam Negara (AG) memutuskan tiada tindakan selanjutnya (NFA) diambil terhadap kes Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang disiasat kerana dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada AG dan arahan terbaharu diterima polis adalah NFA.
“Kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan arahan untuk kes ini adalah ‘no further action.. NFA.
“NFA atas alasan YB Menteri (Khairuddin) tidak diserahkan Borang 14b di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.
“Berdasarkan keterangan itu, maka Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap YB Menteri (Khairuddin) memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi mengasaskan pertuduhan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengesahkan polis membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.
Abdul Hamid berkata polis menjalankan siasatan ke atasnya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) susulan 27 laporan yang diterima polis berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).-Oleh HAIKA KHAZI