21 OKT: Ezzeldin Bahader akhirnya diiktiraf sebagai pemain bola sepak profesional lelaki paling tua di dunia setelah beliau dilaporkan terpaksa menanti sejak awal tahun ini susulan pandemik COVID-19.
Rekod baharu itu dicatatkan ketika beliau beraksi dalam perlawanan penuh yang kedua pada 17 Oktober lalu; beberapa hari sebelum genap ulang tahun kelahirannya ke-75 menjelang 3 November depan.
Media tempatan melaporkan, Bahader secara rasmi menerima gelaran tersebut daripada pihak Rekod Dunia Guinness meskipun pasukannya, 6th October, tewas tipis 3-2 kepada kelab El Ayat Sports.
Dalam perlawanan divisyen ketiga yang berlangsung di Stadium Olimpik, Maadi terletak di pinggir ibu kota Kaherah itu, beliau bagaimanapun terlepas tendangan penalti bagi membantu kedudukan terikat seri.
Bahader pernah menjaringkan gol dari petak penalti dalam perlawanannya yang pertama pada Mac lalu dan merancang untuk beraksi dalam perlawanan kedua selama 90 minit pada bulan sama bagi cipta rekod.
Namun, penggantungan semua kegiatan sukan untuk bendung penularan COVID-19 oleh kerajaan Mesir pada masa itu telah ‘menghambat’ rancangan bekas pemain amatur tersebut untuk melakar sejarah.
Beliau menjadi tumpuan kerana sebelum ini pernah memberitahu pihak media mengenai usianya 75 tahun, yang sebenarnya angka ‘dibundarkan’ dan merujuk umur berkenaan bagi selari dengan kalendar tahun ini.
Kehadiran Bahader dalam pasukan itu bahkan turut ‘membuka pintu’ untuk pihak pengurusan 6th October mendapat banyak penajaan dan publisiti secara tidak langsung, katanya yang sudah bertaraf datuk.
Beberapa cucu Bahader yang berjumlah enam orang kesemuanya, malah dilaporkan sanggup hadiri perlawanan pada 17 Oktober lepas demi beri sorakan penuh padu “Ayuh, atuk!” dari tepi padang.
“Saya mengimpikan dapat pecah rekod saya sekali lagi, hanya untuk menjadikan saingan agar lebih sengit sedikit,” kata Bahader meskipun sekarang beliau sudah pun tamat kontrak dengan kelabnya.
Rekod sebelum ini dipegang oleh warga Israel kelahiran Iraq, Isaak Hayik yang berusia 73 tahun ketika beraksi sebagai penjaga gol pasukan liga ketiga, Ironi Or Yehuda FC pada 6 April 2019 lalu.