21 OKT: Hanya 25 peratus atau seramai 776,135 pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan diwajibkan bekerja dari rumah mulai esok selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Walau bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersetuju untuk membenarkan maksimum 10 peratus daripada jumlah itu berada di pejabat dengan mengambil kira keperluan pihak industri yang memerlukan kehadiran sebilangan kecil pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tempoh yang dibenarkan berada di pejabat dihadkan selama 4 jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.
“Mereka yang terlibat adalah pekerja perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
”Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
”Majikan perlu menetapkan garis panduan bekerja dari rumah yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak memberitahu kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha untuk mempertingkatkan pelaksanaan bekerja dari rumah sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian.
“MITI akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP dalam kalangan pihak industri,” katanya.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan pekerja di peringkat pengurusan dan pengawasan dalam sektor awam dan swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah diarah bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Oktober ini.
Kira-kira sejuta pekerja di semua lokasi berkenaan terlibat dalam pematuhan arahan itu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH