21 OKT: Peruntukan RM2 juta yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini bukanlah semata-mata kos membeli empat unit dron seperti dibangkitkan sesetengah pihak sebaliknya jumlah itu turut meliputi aspek lain termasuk kos analisa sampel air dan aplikasi lain.
Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, syarikat membekalkan dron yang dilantik oleh kerajaan negeri untuk memantau aktiviti pencemaran sumber air di negeri itu juga mempunyai prestasi yang baik di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, syarikat berkenaan berada di kedudukan keenam terbaik di dunia dalam menyediakan perkhidmatan menganalisa dan mencerap kualiti air.
“Ini yang saya maksudkan bahawa dron jangan dilihat pada mesin dron tetapi terhadap aplikasi dan analisa yang mampu dibuat. Syarikat ini adalah syarikat dron nombor enam terbaik di dunia yang bertapak di Malaysia dan terkenal.
“Ia juga beroperasi di banyak (lokasi) termasuk anak-anak syarikat kerajaan negeri dan juga anak syarikat kerajaan Persekutuan sehinggalah di Eropah dan sebaganya,” katanya menerusi video sidang media yang dikongsikan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memberitahu, dengan penggunaan dron berteknologi tinggi itu, ia dapat memberikan analisa dan mengesan sesuatu kandungan dalam air pada peringkat awal.
Justeru, katanya, tindakan pantas oleh penguat kuasa boleh diambil sekiranya pencemaran dikesan di sungai-sungai yang terlibat.
“Perkhidmatan dron ini akan memberikan dua kajian awal kepada kita iaitu pertama berkenaan dengan unsur-unsur premis bangunan dan juga apa-apa perkara yang berada berhampiran dengan sungai yang boleh mencemarkan.
“Selepas itu, kita akan membuat proses penguatkusaan secepat mungkin untuk memastikan punca-punca dan potensi pencemaran ini boleh dikurangkan atau dihapuskan.
“Namun, ia memerlukan sedikit masa untuk kajian sebab cerapan akan dibuat oleh syarikat atau pengendali dron sebelum ia dapat disampaikan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Tambah beliau, dron tersebut berkeupayaan untuk bergerak sejauh lebih 1,000 kilometer (km) dan akan diterbangkan sebanyak dua kali sehari yang dijangka beroperasi pada bulan November ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal Selain Islam, Hee Loy Sian menyatakan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pembelian empat unit dron yang akan diuruskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui Skuad Pantas LUAS.
Dron itu akan digunakan untuk memantau Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat, selain berkeupayaan mengambil sampel air termasuk di kawasan terpencil dengan lebih tepat. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH