22 OKT: Mana-mana individu yang masih memasang impian untuk menjadi Perdana Menteri diseru supaya ‘simpan sekejap niat’ tersebut sehingga negara benar-benar bebas daripada wabak COVID-19.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, ketika ini penting untuk semua wakil rakyat tanpa mengira parti berganding bahu memacu negara keluar daripada belenggu COVID-19 yang meninggalkan impak terhadap negara.
Beliau berkata, rakyat pastinya ternanti-nanti pembentangan Bajet 2021 yang sudah tentu membincangkan perihal berkaitan COVID-19 yang masih belum berpenghujung.
“Bajet kali ini dilihat sangat penting untuk menghadapi kemelut COVID-19 yang masih belum berpenghujung.
“Dengan bajet yang bakal dibentangkan nanti, kerajaan dapat menggunakannya untuk mengurus negara dan lebih pentingnya untuk kebajikan kepada seluruh rakyat jelata.
“Rakyat tentunya menjadi keutamaan terpenting bagi sesebuah kerajaan. Bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, saya yakin bajet kali ini akan mengutamakan keseluruhan keperluan rakyat terbanyak, termasuk operasi melindungi nyawa,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, sikap pembangkang pembangkang menurutnya seolah-olah tidak jemu mahu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya melihat pembangkang seolah-olah tidak tahu duduk diam dan terus-menerus menyulitkan situasi sedia ada yang memberi ancaman kepada kestabilan negara.
“Menjadi persoalan dan teka-teki kepada kita semua ialah bagaimana pembangkang hari ini seakan tidak reti duduk diam, satu demi satu tohmah dilontar, beraneka domba dimainkan, terkinja-kinja melalak mahukan penukaran kerajaan.
“Di ketika COVID-19 kembali meningkat, mereka turut sama terus menyulitkan keadaan. Usul undi tidak percaya di kalangan Ahli-ahli Parlimen pula sangat tidak relevan.
“Andainya Perdana Menteri tidak mendapat kepercayaan di Dewan Rakyat, adakah pembangkang berhasrat inginkan satu lagi pilihan raya segera?” soal Abdul Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai.
Beliau bertegas pilihan raya tentunya bukan jalan terbaik ketika ini dan pastinya tidak akan menyelamatkan rakyat malah memporak-perandakan lagi keadaan negara ini.
“Kelihatannya mereka ingin mencalonkan Perdana Menteri yang baharu. Persoalannya, siapa?
“Tun Dr Mahathir Mohamad? Datuk Seri Anwar Ibrahim? atau Datuk Seri Shafie Apdal?” katanya.
Abdul Latiff menegaskan, kesemua mereka terbukti tidak mempunyai bilangan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang mencukupi untuk mengambil alih negara dan disebabkan itu Muhyiddin terpilih sebagai Perdana Menteri.
Tambah beliau, menggugat kestabilan negara adalah perkara mudah, namun hakikatnya pertukaran pemerintahan negara ketika ini belum tentu mampu mengusir Covid-19.
“Adakah dengan bertukar Perdana Menteri boleh menghapuskan wabak dan negara ini menjadi semakin baik?
“Sesebuah kerajaan perlukan kestabilan dan masa. Rakyat mesti didahulukan, dan negara semestinya diselamatkan.
“Paling tidak berganding bahu dengan memberi cadangan kepada kerajaan untuk keluar daripada pandemik ini. Peri pentingnya sekarang ialah bersama menyelesaikan wabak COVID-19 secara bersama,” katanya.