22 OKT: Waris setiap individu yang mati ditembak tentera Belanda ketika perang kemerdekaan Indonesia antara 1946 hingga 1957 akan menerima pampasan sebanyak €5,000 (RM24,676).
Memetik laporan Agensi, awal tahun ini, Mahkamah Belanda memerintahkan negara itu membayar pampasan kepada balu dan 11 kanak-kanak kerana bapa mereka dibunuh tentera Belanda di Sulawesi Selatan.
Menteri Luar Belanda, Stef Blok dan Menteri Pertahanan, Ank Bijeveld mengumumkan bahawa mana-mana keluarga yang dapat membuktikan waris mereka dibunuh semasa zaman penjajahan itu berhak menerima pampasan.
“Bagi mendapatkan pampasan, mereka perlu memenuhi beberapa kriteria termasuk bukti menunjukkan mangsa berkenaan dihukum bunuh oleh tentera Belanda dan waris perlu memiliki dokumen membuktikan hubungan kekeluargaan,” kata mereka.
Difahamkan, seramai 869 mangsa terkorban dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Belanda di Sulawesi Selatan, yang ketika itu dikenali sebagai Celebes, antara Disember 1946 dan April 1947.
Pada 2013, kerajaan Belanda meminta maaf atas pembunuhan yang dilakukan oleh tenteranya dan bersedia membayar pampasan.
Mahkamah di The Hague pada 2015 memutuskan Belanda perlu membayar pampasan itu kepada keluarga mangsa yang dibunuh semasa perang itu.
Mahkamah Belanda juga kini sedang mendengar beberapa kes tuntutan pampasan lain difailkan waris mangsa kekejaman era penjajahan ketika operasi menghapuskan pejuang kemerdekaan di Indonesia.
Awal tahun ini, Raja Belanda, Willem-Alexander menjadi kerabat diraja Belanda yang pertama memohon maaf atas ‘keganasan melampau’ ketika perang kemerdekaan di tanah bekas jajahannya itu.
Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, selepas dijajah Jepun antara 1942 hingga 1945, selepas dijajah Belanda sejak kurun ke-16.