23 OKT: Tiga orang terbunuh dan 52 lagi cedera dalam insiden letupan saluran paip gas asli di Samut Prakan, berhampiran Bangkok, semalam.
Memetik laporan Bangkok Post, dalam kejadian jam 12.55 tengah hari (waktu tempatan), saluran paip gas asli yang dikendalikan syarikat milik PTT Public Company Limited (PTT) mengalami kebocoran dan terbakar.
Akibat letupan itu, sekurang-kurangnya empat rumah rosak teruk dan enam rumah mengalami kerosakan di bumbung.
Gabenor Wilayah Samut Prakan, Wanchai Kongkasem berkata, sekurang-kurangnya 30 keluarga terjejas akibat insiden itu dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti punca kejadian letupan itu.
“Mangsa mengalami kecederaan akibat melecur dan dihantar ke hospital berdekatan dan pusat pemindahan dibuka untuk membantu mangsa,” katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian.
Beliau berkata, PTT telah menutup saluran paip itu dan kawasan itu kini selamat.
Sementara itu, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan pihak berkuasa segera melakukan pemeriksaan dan menyiasat punca kejadian serta menghulurkan bantuan kepada mangsa.